Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit
KIARONG, Ahad, 15 Mac. - Ibadah Qiamullail merupakan antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, sebagai usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta memohon keampunan dan rahmat daripada-Nya.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menganjurkan Program Qiamullail Ramadan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi pada awal pagi tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong sebagai masjid tumpuan utama di Daerah Brunei dan Muara.
Manakala masjid-masjid utama di tiga daerah lain iaitu Daerah Tutong, di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Daerah Belait, di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Daerah Temburong, di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Antara yang hadir pada Qiamullail Ramadan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong pada awal pagi tadi ialah Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet dan Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri bersama para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari kementerian - kementerian, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta Belia Daie', Belia Beliawanis Masjid, Muslimah Masjid dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid.
Turut sama mengimarahkan lagi Qiamullail Ramadan ialah para jemaah dalam kalangan orang awam.
Qiamullail Ramadan diisi dengan Sembahyang Sunat Tasbih Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Diikuti dengan bacaan Wirid dan Doa Sembahyang Sunat Tasbih.
Kemudiannya, bacaan Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Awang Haji Haris bin Haji Suboh.
Qiamullail Ramadan ini juga bertujuan mengajak umat Islam agar bersama-sama mengimarahkan masjid serta menghidupkan malam-malam Ramadan dengan pelbagai amalan ibadah seperti Sembahyang Berjemaah, Qiamullail, Zikir dan Doa.
Di samping itu, ia turut berperanan membudayakan amalan beribadah secara berjemaah dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyemarakkan semangat untuk merebut keberkatan serta keistimewaan bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, apatah lagi ketika Ramadan semakin menghampiri penghujungnya.